Sabtu, 5 Mac 2011

Majlis Lambaian Kasih bersama En. Johan Bin Abd Rahim ( PK HEM SMK TMN DESA JAYA)

Encik Johan Bin Abdul Rahim dilahirkan pada tanggal 30 Julai 1961, di Yong Peng Johor. Beliau adalah merupakan anak yang sulung daripada 7 orang adik beradik.

Beliau mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Jaya sejak sekolah ini ditubuhkan pada tahun 2001. Beliau bermula sebagai guru biasa, kemudian menyandang jawatan sebagai kaunselor dan seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Setelah genap 10 tahun 2 bulan berkhidmat mencurah bakti di sekolah ini, kini beliau melangkah setapak ke hadapan untuk meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan sebagai Penolong Kanan Akademik. Setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Beliau terpaksa meninggalkan SMK Taman Desa Jaya dan akan berkhidmat di SMK Sungai Tiram.

Sepanjang 10 tahun beliau di sekolah ini, banyak sumbangan dan jasa pengorbanan yang beliau telah sumbangkan tanpa mengenal erti penat lelah serta tidak pernah mengharapkan balasan kerana beliau percaya bahawa sesuatu yang dilakukan dengan ikhlas itu lebih penting tanpa perlu mengharapkan balasan dan pujian.

Ketegasan beliau yang disegani oleh pelajar dan guru. Kemesraan beliau telah membuat kami menyayangi beliau. Kepergian beliau, terpaksa kami akur kerana kami memahami beliau kini ada tugas yang diamanahkan. Pelbagai cabaran yang beliau hadapi sepanjang berkhidmat di sini terutamanya apabila menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan HEM, namun baginya segala derita disimpan di hati, tidak pernah tewas dipukul taufan, tidak mungkin berputus asa pada pelbagai tohmahan yang diterima. Namun demi tugas, beliau tidak ingin dipersiakan, rela menjadi lilin terbakar bagi menerangi semua pelajar.

Sesungguhnya perpindahan Encik Johan merupakan suatu kehilangan yang besar bagi warga sekolah ini dan pastinya akan dirindui. Semoga beliau beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di masa depan dan selamat maju jaya. Terima kasih yang tidak terhingga atas segala khidmat bakti beliau. Terima Kasih, Terima Kasih, Terima Kasih.

Puisi buatmu..guru:

Jika usahamu dilupai

Jika pengorbananmu tidak dihargai,

Jika keringatmu tidak disanjungi..

Dan jika penat lelah mu tidak dipeduli..

Janganlah berkecil hati…

Tanpa anugerah duniawi,

Keikhlasan dan kemuliaanmu tetap Allah catat

sebagai bekalan menuju alam yang abadi..















Tiada ulasan: