Sabtu, 5 Mac 2011

ENGKAU... GURU


Gerak geri memaparkan kelincahan,
Riang menari sambil berlaga,
Bersenda gurau melakar wajah,
Namun yang lebih tahu,
Hanya Tuhan yang satu.

Di dalam keriuhan sorak dan sorai,
Ada harapan yang terkulai,
Cita-cita melangkau Everest nan tinggi,
Mimpi indah onak menikam diri,
Namun itulah engkau...
Segala derita di simpan di hati,
Terpintal indah menyusun seni,
Menjadi penawar hati yang sepi,
Tiada kalimah mustahil,
Di sudut hati yang kecil.

Lautan sanggup diredah,
7 benua mahu dijajah,
Onak yang menusuk jauh di sudut hati,
Menjadi azimat pendorong diri.

Jatuh dan dijatuhkan berkali-kali,
Namun terus bangkit,
Melangkah dan berlari,
Itulah engkau punyai wawasan sendiri,
Tidak pernah tewas dipukul taufan,
Tidak berputus asa pada pelbagai tohmahan,
Namun engkau guru hanya seorang insan.

Ada tikanya terperangkap oleh perasaan,
Dan kerana perasaan lah,
Dalam tenang engkau resah,
Kerana hati lah,
Dalam riang engkau derita,
Namun kerana ilmu mu tidak ingin dipersia,
Engkau rela menjadi lilin terbakar,
Menerangi kami semua.

Majlis Lambaian Kasih bersama En. Johan Bin Abd Rahim ( PK HEM SMK TMN DESA JAYA)

Encik Johan Bin Abdul Rahim dilahirkan pada tanggal 30 Julai 1961, di Yong Peng Johor. Beliau adalah merupakan anak yang sulung daripada 7 orang adik beradik.

Beliau mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Jaya sejak sekolah ini ditubuhkan pada tahun 2001. Beliau bermula sebagai guru biasa, kemudian menyandang jawatan sebagai kaunselor dan seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Setelah genap 10 tahun 2 bulan berkhidmat mencurah bakti di sekolah ini, kini beliau melangkah setapak ke hadapan untuk meneruskan perjuangan dalam bidang pendidikan sebagai Penolong Kanan Akademik. Setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Beliau terpaksa meninggalkan SMK Taman Desa Jaya dan akan berkhidmat di SMK Sungai Tiram.

Sepanjang 10 tahun beliau di sekolah ini, banyak sumbangan dan jasa pengorbanan yang beliau telah sumbangkan tanpa mengenal erti penat lelah serta tidak pernah mengharapkan balasan kerana beliau percaya bahawa sesuatu yang dilakukan dengan ikhlas itu lebih penting tanpa perlu mengharapkan balasan dan pujian.

Ketegasan beliau yang disegani oleh pelajar dan guru. Kemesraan beliau telah membuat kami menyayangi beliau. Kepergian beliau, terpaksa kami akur kerana kami memahami beliau kini ada tugas yang diamanahkan. Pelbagai cabaran yang beliau hadapi sepanjang berkhidmat di sini terutamanya apabila menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan HEM, namun baginya segala derita disimpan di hati, tidak pernah tewas dipukul taufan, tidak mungkin berputus asa pada pelbagai tohmahan yang diterima. Namun demi tugas, beliau tidak ingin dipersiakan, rela menjadi lilin terbakar bagi menerangi semua pelajar.

Sesungguhnya perpindahan Encik Johan merupakan suatu kehilangan yang besar bagi warga sekolah ini dan pastinya akan dirindui. Semoga beliau beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di masa depan dan selamat maju jaya. Terima kasih yang tidak terhingga atas segala khidmat bakti beliau. Terima Kasih, Terima Kasih, Terima Kasih.

Puisi buatmu..guru:

Jika usahamu dilupai

Jika pengorbananmu tidak dihargai,

Jika keringatmu tidak disanjungi..

Dan jika penat lelah mu tidak dipeduli..

Janganlah berkecil hati…

Tanpa anugerah duniawi,

Keikhlasan dan kemuliaanmu tetap Allah catat

sebagai bekalan menuju alam yang abadi..















Majlis Sambutan Maulidur Rasul


Tema : 1 Malaysia 1 Ummah
Tarikh : 5 Mac 2011 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Dewan SMK Taman Desa Jaya

*************************************************************************

Tentatif Program Maulidur Rasul

7.30 : Guru, Jemputan dan Pelajar Berkumpul

8.00 : Perarakan bermula

9.00 : Ucapan Aluan Pengerusi Majlis

Bacaan Al-Quran

Marhaban dan Berzanji

Ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Zaharin Bin Taha ( SMK Taman Sri Saujana, Kota Tinggi)

Persembahan Nasyid

Jamuan dan bersurai


**************************************************************************

Setinta Pengetua SMK Taman Desa Jaya


Segala puji-pujian bagi Allah S.W.T, Tuhan pencipta sekalian alam dan selawat serta salam bagi junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W Rasul pilihan, ikutan ummah.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan inayahnya, kita dipanjangkan umur untuk meraikan majlis sambutan Maulidur Rasul 2011 peringkat sekolah dengan penuh kenikmatan dan keberkatan.

“1 Malaysia, 1 Ummah” merupakan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Ini amatlah bertepatan dengan usaha pemerintah amnya dan pihak sekolah khususnya dalam menyediakan modal insan yang cemerlang dalam pelbagai bidang serta berkualiti. Ini diperkukuhkan lagi dengan persaingan yang berlaku kini dengan bangsa-bangsa lain di tanah air yang tercinta.

Saban tahun Maulidur Rasul disambut bukan sekadar kita berselawat ke atasnya atau mendengar ceramah semata-mata tetapi setiap umat Islam perlulah menghayati perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W dalam meninggikan syiar Islam serta sifat-sifat mulia yang dibawa oleh baginda seharusnya dijadikan tauladan, amalan dan ikutan kita sepanjang hayat.

Tahniah diucapkan kepada semua pihak, khususnya AJK Kerja Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini atas kejayaan menganjurkan majlis sambutan ini.


Hajah Norlia Kayat

Pengetua,

SMK Taman Desa Jaya,

Johor

**********************************************************************

Gambar Sekitar Majlis Sambutan Maulidur Rasul


























Jumaat, 4 Mac 2011

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah.

SMK Taman Desa Jaya akan mengadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah pada tarikh dan masa berikut:
Tarikh : 5 Mac 2011
Hari : Sabtu
Masa : 7.30 Pagi

Tentatif Program
7.30 - Guru dan pelajar berkumpul di tapak perhimpunan
8.00 - Perarakan (Sekitar Kawasan Taman Desa Jaya)
- Ceramah Maulidur Rasul
- Jamuan Makan
- Bersurai


Semua pelajar Islam dijemput hadir. Semoga kita mendapat manfaat daripada majlis ilmu ini.